Friday, August 22, 2014

KEBERSAMAAN JIWA MALAYSIA


22 OGOS 2014- Malaysia Berkabung. Tragedi MH17 yang sangat menyayat hati hari ini menerima kepulangan 20 mangsa korban. Seluruh Malaysia bermuram. Semoga segala yang berlaku ini akan selalu menyedarkan kita kepentingan kebersamaan. Di atas apa jua perbezaan di antara kita, sifat kemanusiaan dan jiwa yang selalu berkasih sayang selalu menjadi titik penyatuan. Semadilah kalian di sana dengan aman. Al-Fatihah.

Thursday, August 7, 2014

ADA. SEDIA. MENJAGA.

Mendekati individu adakala kita mengenal secara langsung, pernah bersua dan menyapa namun ada juga yang hanya dikenali menerusi luaran, gambar, catatan atau apa jua aktiviti mereka yang terpapar baik di mana2 saja termasuk media sosial.

Terkadang saya terharu pabila secara diam ada yang mengikuti butir bicara saya yang tercatat sebagai hobi dan minat. Saya mungkin mendekati sesetengah orang sebagai siapa saya dikenali, baik menerusi kerjaya atau sebaliknya. Memaparkan aktiviti2 saya dan tentunya apa jua perkara yang melibatkan boss saya. Secara tidak langsung saya turut dikenali. Itu tidak disengajakan.

Ekoran hobi dan minat saya menulis dan memasak-saya tiba2 muncul dengan kedua2 perkara tersebut. Baik lauk pauk atau menu serta resipi saya, tulisan-tulisan saya juga mendekatkan saya dengan orang yang adakala saya tidak pernah tahu yang mereka sering mengikuti aktiviti/hobi/minat saya itu.

Saya juga terlibat dengan perniagaan online, ini juga salah satu cabang saya menemui masyarakat yang berbeza di mana saya melayani para pelanggan secara terus tanpa orang tengah, ini juga membuatkan saya membina platform perkenalan yang lain dengan pelanggan2 saya.

Saya juga ada teman yang mahu saya menulis sesuatu yang boleh seperti ini, berbunyi begini atau seumpamanya bagi mengingati momen-momen dalam kehidupannya. Saya jadi teruja kerana tidak mudah saya secara semulajadi mahu memaparkan sebegini derapan rasa yang berjalan bersama langkah-langkah saya yang tak berjejak adakalanya;

``Kadang2 kita adalah refleksi kepada diri masing-masing dan terkadang kita asing. Kita seiring tapi adakala tak seganding. Kita dekat tapi sarat, kita jauh dan bergaduh. Kita bertengkar dan menghindar. Kita diam dan memendam. Namun cinta tak pernah menyimpan sedih untuk berkalih, tidak mengenggam dendam untuk memadam, tidak menentang sayang untuk hilang, tidak mengundang benci untuk berhenti. Kita mungkin kebetulan, kita mungkin terserempak, kita mungkin tertunda, kita mungkin tak menjangka tetapi kenapa kita bertemu adalah cerita yang tak mungkin dilupa sampai bila-bila. Aku mungkin bukan pilihan tapi aku ada, aku mungkin bukan kesempurnaan tapi aku sedia, aku mungkin bukan kepentingan tetapi aku menjaga. Semoga selama ini, bermula dari hari pertama hingga ke detik ini, rasa cinta tak pernah hilang, rasa rindu sentiasa datang dan rasa kasih tak berkurang.''

InshaAllah.

Saat kita mulai berdoa yang baik, akan baiklah datangnya. Namun jangan tamak untuk melihat kebaikan secara nyata, terkadang rahsia Allah juga rahsia yang kita tak dapat meneka tapi lambat laun kita sendiri mendapat jawapannya.

Friday, July 18, 2014

TRAGEDI

Belum reda kisah MH370 pada Mac lalu, malam tadi dikejutkan pula dengan berita MH17. Saya sedang membaca twitter malam tadi dan bila ternampak berita mengenai MH17, saya baca berulangkali kerana saya sangat berharap agar pesawat yang dimaksudkan bukan MH (MAS). Namun segala apa kejadian yang menimpa adalah ketentuan dan rahsiaNya. Salam takziah buat keluarga mangsa dan siapa pun kita sebagai manusia, naluri kita tetap berhubung untuk segala kesedihan di atas apa jua musibah yang menimpa orang lain. 

Pada waktu yang sama kita tahu betapa sengsaranya mereka di bumi Gaza saat ini dan juga pasukan keselamatan kita yang sedang mempertahankan negara di perairan Sabah. Semoga kita semua sentiasa di dalam lindunganNya.

Thursday, July 17, 2014

ZIARAH KE RUMAH PERASAAN

Beberapa hari juga saya tidak menziarah rumah perasaan. Saya tidak meninggalkan kerana saya sudah mengunci perasaan saya di situ. Nampak atau tidak, disedari atau sebaliknya, tidak penting kerana saya sudah menyediakan kamar buat rumah perasaan itu.

Perasaan adakala berubah, mungkin pengamatan dan emosi, adakala anginnya yang membawa desah2 yang kurang menyenangkan dan singgah di ranting perasaan paling rapuh. Ya, pelbagai, bermacam-macam dan sukar ditafsirkan.

Perasaan adakala mahu diluah tapi fikirnya panjang, mencari di mana titik paling baik untuk memulakan dan bimbang akan titik akhirnya jadi buntu dan gagal dalam penjelasan. Mungkin juga permintaan. Atau desakan ketidakseimbangan rasa yang mendorong kepada luahan-betul atau tidaknya, bergantung keadaan tetapi akhirnya seperti sudah diramalkan. 

Saya menjadi takut. Kecut. Saya nampak lantang dalam perasaan tapi saya selalu takut berhadapan. Saya selalu meletakkan saya kerdil. Kecil.

Itu saya. Saya lemah sebenarnya. Justeru saya memang hanya ada rumah perasaan, itu saja tempat saya selama ini. Saya goyah saya kembali ke rumah itu, saya gembira saya menuju ke situ. Namun saat saya lemah dan takut, saya memang tidak berani. Justeru itu saya meminggir, membawa sebanyaknya rasa yang saya miliki dalam rumah perasaan itu. 

Wednesday, July 16, 2014

SEKADAR MENGENAL ATAU KEBETULAN YANG ADA....

PERIBADI ANDA MENGIKUT BULAN KELAHIRAN BERDASARKAN 
KAJIAN 25 TAHUN DATO FADZILLAH KAMSAH

JANUARI
bercita-cita tinggi dan orangnya serius
suka mendidik dan dididik
sangat mudah melihat kelemahan orang dan suka mengkritik
rajin dan setiap yg dibuat nampak keuntungan
suka smart, kemas dan teratur
bersifat sensitif , berfikiran mendalam
pandai mengambil hati org lain
pendiam kecuali telah dirangsang
agak pemalu daya tumpuan yang sangat tinggi
mudah mendisiplinkan diri sendiri
badannya sihat tetapi mudah diserang selsema
bersikap romantik tetapi tidak pandai mempamirkannya
cukup sayang pd kanak-kanak
suka duduk rumah
setia pada segala-galanya
perlu belajar kemahiran sosial
cukup cemburu yg sangat tinggi

FEBRUARI
berfikiran abstrak
sukakan benda yang reality dan abstrak
inteligent, bijak dan genius
berpesonality yg mudah berubah
mudah menawan org lain
agak pendiam. Pemalu dan rendah diri
jujur dan setia pd segalanya
keras hati untuk mencapai matlamat
tidak suka dikongkong
mudah memberontak apabila dikongkong
suka kegiatan yg lasak
emosinya mudah terluka dan sgt sensitif
mudah mempamirkan marahnya
tidak suka benda yg remeh-temeh
suka berkawan tapi kurang mempamerkannya
sangat berani dan suka memberontak
bercita-cita tinggi dan suke berangan-angan dan ada harapan utk
merealisasikan impiannya
pemerhatian yg tajam
suka hiburan dan sukan
suka benda yg bersifat seni
sangat romantik pada dalaman tetapi tidak pada luaran
berkecenderungan pd benda yg tahyul
amat mudah dan boleh menjadi terlalu boros
belajar untuk mempamirkan emosi

MAC
berpesonaliti yg menarik dan menawan
mudah didampingi
sgt pemalu dan pemendam rasa
sgt baik secara semulajadi, jujur pemurah dan mudah simpati
sgt sensitif pd perkataan yg dituturkan dan alam persekitaran
suka pada kedamaian
sgt peka kepada orang lain
sesuai dgn kerjaya yg memberi khidmat kepada org lain
tidak cepat marah dan sangat amanah
tahu balas budi dan tahu kenang budi
pemerhatian dan penilaian yg sangat tajam
kecenderungan utk berdendam jika tidak dikawal
suka berangan-angan
suka melancong
sgt manja dan suka diberi perhatian yg sangat tinggi
kelam kabut dalam memilih pasangan
suka dgn hiasan rumahtangga
punya bakat seni dalalm bidang muzik
kecenderungan kepada benda yang istimewa dan baik jgn terlalu moody.

APRIL
sangat aktif dan dinamik
cepat bertindak buat keputusan tetapi cepat menyesal
sgt menarik dan pandai manjakan diri
punya daya mental yg sangat kuat
suka diberi perhatian
sgt diplomatik (pandai memujuk ).berkawan dan pandai menyelesaikan masalah
org sgt berani dan tiada perasaan takut
suka adventure, pengasih, penyayang, sopan santun dan pemurah
emosi cepat terusik
try control the emotion
kecenderungan bersifat dendam
agresif, kelam kabut utk membuat keputusan
kuat daya ingatan
gerak hati yg sangat kuat
pandai mendorong diri sendiri dan memotivasikan org lain
berpenyakit disekitar kepala dan dada
sgt cemburu dan terlalu cemburu

MEI
kekerasan hati & degil
kuat semangat & bermotivasi tinggi
pemikiran yg tajam
mudah marah apabila tidak dikawal
pandai menarik hati org lain & menarik perhatian
perasaan yg amat mendalam
cantik dr segi mental & fizikal
tidak perlu dimotivasikan
tetap pendirian tetapi mudah dipengaruhi oleh org lain
mudah dipujuk
bersikap sistematik (otak kiri)
suka berangan
kuat daya firasat memahami apa yg terlintas di hati org lain tanpa
diberitahu
bahagian telinga & leher mudah diserang penyakit
daya khayalan yg tinggi
permikiran yg tajam
pandai berdebat
fizikal yg baik
kelemahan sistem pernafasan
suka sastera,seni & muzik serta melancong
tidak berapa suka duduk dirumah
tidak boleh duduk diam
tidak punya ramai anak
rajin dan bersemangat tinggi
agak boros

JUN
berfikiran jauh & berwawasan
mudah ditawan kerana sikap baik
berperangai yg lemah lembut
mudah berubah sikap,perangai,idea & mood
idea yg terlalu banyak dikepala
bersikap sensitif
otaknya aktif (sentiasa berfikir)
sukar melakukan sesuatu dengan segera
bersikap suka menangguh-nangguh
bersikap terlalu memilih & mahukan yg terbaik
cepat marah &cepat sejuk
suka bercakap & berdebat
suka buat lawak & bergurau
otaknya cerdas ,berangan-angan
mudah berkawan & pandai berkawan
org yg sangat tertib
pandai mempamerkan sikap
mudah kecil hati
mudah kena selsema
suka berkemas
cepat rasa bosan
sikap terlalu memilih & cerewet
kurang mempamerkan perasaan
lambat nak sembuh apabila terluka hati
suka kepada barang yang berjenama
mudah menjadi eksekutif
kedegilan yg tidak terkawal
sesiapa yg memuji saya adalah musuh saya tetapi
siapa menegur saya adalah kawan saya.

JULAI
Sangat seronok didampingi
Banyak berahsia dan sukar dimengerti terutamanya lelaki
Agak pendiam kecuali diransang
Ada harga dan maruah diri
Tak suka menyusahkan orang lain tapi tidak marah apabila disusahkan
Mudah dipujuk dan bercakap lurus
Sangat menjaga hati orang lain
Sangat peramah
Emosi sangat mendalam tapi mudah terluka hatinya
Berjiwa sentimental
jarang berdendam
mudah memaafkan tapi sukar melupakan
tidak suka benda remeh-temeh
membimbing cara fizikal dan mental
sgt peka, caring dan mengasihi serta penyayang
layanan yg serupa dgn semua orang
tinggi daya simpati
pemerhatian yg tajam
suka menilai org lain dgn pemerhatian
mudah dan rajin belajar
suka munasabah diri
suka megenangkan peristiwa atau kawam lama
suka mendiamkan diri
suka duduk dirumah
suka tunggu kawan tapi tak cari kawan
tak agresif kecuali terpaksa
lemah dari segi kesihatan perut
mudah gemuk kalau tak kawal diet
minta disayangi
mudah terluka hati tapi lambat pulih
terlalu mengambil berat
rajin dalam membuat kerja

OGOS
suka berlawak
mudah tertawan kepadanya
sopan santun dan caring terhadap org lain
berani dan tidak tahu takut
orgnya agak tegas & bersikap kepimpinan
pandai pujuk org lain
terlalu pemurah & bersikap ego
nilai harga diri yg sangat tinggi
dahagakan pujian
semangat juang yg luar biasa
cepat marah & mudah mengamuk
mudah marah apabila cakapnya dilawan
sangat cemburu
daya pemerhatian yg tajam & teliti
cepat berfikir
fikiran yg berdikari
suka memimpin & dipimpin
sifat suka berangan
berbakat dlm seni lukis,hiburan & silat
sangat sensitif tapi tidak mudah merajuk
cepat apabila ditimpa penyakit
belajar utk relax
sikap kelam kabut
romantik ,pengasih,penyayang
suka mencari kawan

SEPTEMBER
sangat bersopan santun & bertolak ansur
sangat cermat,teliti & teratur
suka menegur kesilapan org lain & mengkritik
pendiam tapi pandai bercakap jika perlu
sikap sangat cool sangat baik & mudah simpati
sangat perihatin & terperinci,amanah,setia & jujur
kerja yg dilakukan sangat sempurna
sangat sensitif yg tidak diketahui
org yg banyak berfikir
daya pentaakulan yg baik
otak bijak & mudah belajar
suka mencari maklumat
kawal diri dari terlalu mengkritik
pandai mendorong diri sendiri
mudah memahami org lain(daya firasat yg tinggi) krn banyak simpan rahsia
suka sukan,hiburan & melancong
kurang menunjukan perasaannya
terluka hatinya sangat lama disimpan
terlalu memilih pasangan
sukakan benda yg luas
bersistematik

OKTOBER
suka sembang
suka org yg sayang padanya
suka ambil jalan tengah
sangat menawan & sopan santun
kecantikan luar & dalam
tidak pandai berbohong & berpura-pura
mudah rasa simpati,baik pentingkan kawan
sentiasa berkawan
hatinya mudah terusik tetapi merajuknya tak lama
cepat marah
macam pentingkan diri sendiri
tidak menolong org kecuali diminta
suka melihat dari perspektifnya sendiri
tidak suka terima pandangan org lain
emosi yg mudah terusik
suka berangan & pandai bercakap
emosi yg kelam kabut
daya firasat yg sangat kuat (terutamanya perempuan)
suka melancong,bidang sastera & seni
pengasih ,penyayang & lemah lembut
romantik dlm percintaan
mudah terusik hati & cemburu
ambil berat tentang org lain
suka kegiatan luar
org yg adil
boros & mudah dipengaruhi persekitaran
mudah patah semangat

NOVEMBER
banyak idea dalam perkara
sukar utk dimengertikan atau difahami sikapnya
berfikiran kehadapan
berfikiran unik dan bijak
penuh dgn idea-idea baru yg luarbiasa
pemikiran yg tajam
daya firasat yg sgt halus dan tinggi
bagus utk jadi doktor
cermat dan teliti
personality dinamik
sifat yg berahsia, pandai mencungkil dan mencari rahsia
banyak berfikir, kurang bercakap tetapi mesra
berani, pemurah setia dan byk kesabaran
terlalu degil dan keras hati
apabila hendak. Diusahakan sehingga berjaya
taksuka marah kecuali digugat
mudah ambil berat terhadap orang lain
pandai muhasabah diri
cara berfikir lain dari org lain
otak yg sangat tajam
pandai mendorong diri sendiri
tidak hargai pujian
kekuatan semangat dan daya juang yg sgt tinggi dan apabila hendak sesuatu
cuba sampai berjaya
badan yg tough
kasih sayang dan emosi yang sangat mendalam
romantik
tidak pasti dgn hubungan kasih sayang
suka duduk dirumah
sangat rajin dan berkemampuan tinggi
amanah, jujur setia dan pandai berahsia
tidak berapa berjaya dalam mengawal emosi
bercita-cita tinggi
perangai tidak dapat diramal dan mudah berubah-ubah

DISEMBER
Sangat setia dan pemurah
Bersifat patriotik
Sangat aktif dalam permainan dan pergaulan
Sikap kurang sabar dan tergesa-gesa
Bercita-cita tinggi
Suka menjadi orang yang berpengaruh dlm organisasi
Seronok didampingi
Suka bercampur dgn org
Suka dipuji, diberi perhatian dan suka dibelai
Sangat jujur amanah dan bertolak ansur
Tidak pandai berpura-pura
Cepat marah
Perangai yg berubah-ubah
Tidak ego walaupun harga diri yang sangat tinggi
Benci pada kongkongan
Suka berlawak
Pandai buat lawak dan berfikiran dgn logik

Monday, July 14, 2014

KEDAP

Kedap.
Senyap.

Aku tidak menyaring ucap
Sebagaimana kerap
Inilah yang tersuap.

Thursday, July 10, 2014

KESEDIAAN

Semakin hari menginjak, saya selalu mengira tentang kemungkinan-kemungkinan. Cukup bersediakah saya dalam segala hal. Saya seorang yang selalu berharapan dan saya selalu menawarkan agar peluang kepada harapan saya jadi murah. Saya berdoa agar segalanya berjalan mudah.

Jika satu hari nanti saya sendiri/seorang; saya berusaha untuk tidak menyusahkan. Mohon saya sihat dan ada kudrat agar daripada keringat jatuhan yang mana pun, saya masih boleh memanjangkan hasrat. 

Sebagaimana hidup kita mahu terus bersahabat dengan matahari. Jalan kita diterangi, selalu menjanjikan siang yang cerah setelah kita mengharung gelap malam. Selalu tahu ada bayang-bayang menemani kala ia muncul. Selalu memahami yang bayang-bayang itu akan ada di hadapan pada waktu-waktunya dan ada di belakang pada masa-masanya.

Saya seorang yang sangat mudah. Saya tidak menagih wang ringgit dan kebendaan sebab saya memang seorang pencari-barangkali kekuatan nama Abdul Razak di belakang nama saya bermaksud Rezeki itulah yang selalu menjadikan saya seorang yang sangat berdikari.

Moga saja yang cerah kan terus terang, yang gelita beralih benderang.

AKU WANITA BIASA


Kadang-kadang ada orang terpanggil untuk melakukan/berbuat sesuatu untuk kita. Terkesan. Sangat. Saya seorang yang begitu tersentuh dengan 3 perkara. Tulisan. Gambar. Bicara.

Terima kasih Kak Shariena yang membuat video ini, lagu yang melatarinya juga sangat bermakna, dan saya melihat wajah2 saya dalam video tersebut dengan perasaan-terlalu banyak perasaan dan perasaan yang terbanyak adalah tersenyum. InshaAllah. 


Wednesday, July 9, 2014

SEHARI DALAM HIDUP

Kadang-kadang saya tertawa sendiri, ada juga rasa penat, lelah juga adakalanya tetapi saya selalu merasakan saya punya hati yang bahagia. Saya mula positif sejak beberapa tahun ini, saya jarang sekali mengeluh, saya tidak mengira bahawa kepenatan itu kekesalan, saya mengambil semuanya dengan lapang dada. Jom ikuti sehari dalam hidup saya, saya mengambil contoh hari ini....

Saya terjaga seawal jam 3.14 pagi (perut saya menggesa saya ke kamar kecil). Mata saya tak lagi boleh lelap selepas itu. Saya menunggu jam 4.30 pagi, ke dapur dan memanaskan lauk2 untuk bersahur. Jam 5 pagi saya kejutkan anak2. Sambil mereka makan dan menunggu imsak, saya membelek-belek emel di dalam telefon bimbit. Emel untuk tempahan sambal hitam Resipi Sangdewi dan emel untuk tempahan Sangdewi In Style.

Nampak mudah tetapi perlu fokus. Setiap emel saya harus balas, harus lihat pesanan, harus mengambil tempahan dan akhir sekali saya akan foward emel/tempahan tersebut (dalam bentuk screen shot) kepada abang saya yang akan menyiapkan tempahan sambal tersebut dan mengeposnya menerusi Resipi Sangdewi. Itu belum lagi saya harus menjawab pertanyaan mengenai pesanan mereka sudah dipos, setiap kali ditanya saya harus membelek-belek slip (pos laju) dan mencari nama2 mereka, seterusnya memberikan tracking number. 

Saya juga menyiapkan pesanan Sangdewi In Style, mencari stok setiap tempahan, membungkus, menulis borang pos laju dan kemudian akan mengeposnya bila saya sudah ke pejabat nanti. Syukur kerana tempat pengeposan tidak jauh dari pejabat saya bekerja.

Bulan puasa ini kira rutin memasak saya berubah. Saya tidak perlu menyediakan makanan tengahari sebelum keluar bekerja. Saya ke pejabat sekitar jam 9 pagi. Sampai di pejabat, perkara utama saya hendak buat hari ini adalah mengumpul nama-nama client dan juga pihak yang banyak bekerjasama dengan SNP. Saya dan Miela sama-sama menaip nama orang yang hendak dihantarkan kad, meletakkan kad di dalam sampul, menampal setem (dibantu Aiman) dan seterusnya mengasingkan setiap kad mengikut negeri. Saya juga masih juga menjawab emel berkenaan pesanan sambal hitam dan Sangdewi In Style, apa saja yang perlu dikemaskini atau update, saya kena lakukan pada masa itu juga kerana saya tidak mahu bertangguh, nanti tentu akan panjang kesilapan dan ada perkara yang tertinggal.

Pada masa saya sibuk menyiapkan kad raya, saya mencuri masa untuk menyediakan press release atau kenyataan akhbar untuk album Fragmen. Ini juga salah satu tugas rutin saya untuk setiap album boss. Saya suka menulis sendiri kerana saya faham dan tahu menginterpretasikan apa yang boss maksudkan dalam sesebuah album yang dihasilkan.

Selesai menyediakan press release, saya juga membalas emel-emel kerja saya di pejabat, dan menjawab pertanyaan/permintaan banyak pihak untuk mengundang boss di sms dan whatsapp. 

Setelah separuh daripada kad raya selesai dan boleh dipos, saya ke pejabat pos, selain mengepos kad raya, saya juga mengepos pesanan Sangdewi In Style. Oleh kerana berpuasa dan tidak ada waktu rehat untuk makan tengahari, saya mencuri waktu mengepos kad/pesanan2. Saya juga singgah di ATM, mengeluarkan duit/wang hasil jualan sambal hitam yang dimasukkan ke dalam akaun saya.

Seterusnya saya ke  Resipi Sangdewi, mengira hasil jualan, menjadi akauntan seketika dan akhirnya saya menyerahkan wang yang saya keluarkan tadi ke restoran saya.Saya menjadi seronok, puas dan berasa lapang. 

Saya kembali ke pejabat, menghabiskan sisa-sisa kerja sebelum petang dan kembali nanti ke rumah untuk memasak bagi persediaan berbuka puasa. Rutin yang tidak akan habis selagi kita berkudrat dan bergelar manusia. 

Senyumlah. Hela nafas puas. Kita telah memaksimakan hari2 kita dengan tidak menggesa tenaga tetapi bekerja atas tanggungjawab/amanah dan apa yang kita mahu laksanakan. Pulang ke rumah, duduklah sebentar di hadapan cermin. Lihatlah diri anda, berbanggalah. Hanya kita dan cermin, jangan malu untuk berbangga. Itulah wajah kita..selelah mana pun, kita puas. Alhamdulillah.

Monday, July 7, 2014

MENANDAI TANDA

Pernah dalam hidup kita terlupa dan tidak mahu mengingat? Atau sekadar mengenang dan berdiam seorang. Begitupun hari tak lekang meninggalkan tetapi sejauh mana kita sendiri memaknakan. Seluruh pelusuk dalam diri kita ziarahi untuk mencari di mana kosong dan terisi, di mana terhias dan usang tak tersapa dek waktu sekalipun.

Saya sangat mengingat. Bila mengingat saya akan menandai. Itu prasasti diri. Tersurat dengan kalimat yang kita saja tahu bagaimana ada hal yang kita sendiri mahu memeluknya kemas, jangan terlepas meski kadangkala tak semua perkara mengikut sebagaimana kehendak. Cukuplah menjadi tamak, bukankah kebahagiaan kita mampu cipta. Kita yang mengadunkannya dalam acuan yang kita punya.

Terima kasih cekal untuk terus kekal. Datanglah seribu tanggal, kitalah yang bertemu di titik asal kenal. Kitalah yang selalu mengukur jalan-jalan ini. Dan melangkahinya hingga kini.




Wednesday, July 2, 2014

MENGHARGAI DIRI SENDIRI

Menghargai diri sendiri dengan menghadiahkan sesuatu kepada diri kita. Yeay!! Saya dapat hadiah yang saya hadiahkan sendiri pada 30 Jun lalu. Alhamdulillah. Syukur kepada Allah. Bila kita dapat sesuatu, otak tak henti berfikir dan sama lajunya nanti dengan usaha/kudrat tak henti bergerak. Moga Allah terus melapangkan rezeki dan memberikan kesihatan yang baik untuk saya terus bekerja.

Saya mencari-cari senyum saya, di mana terjatuh? Menyelongkar kepuasan diri atas usaha dan berdikari. Saya membazirkan keberanian sebelum ini. Ok, berjalan terus dan jangan pandang ke belakang lagi. Jika lemah, timbuslah sebelum mengalah, jika kuat, bersyukurlah menjadi semangat.

FRAGMEN




30 JUN-Fragmen daripada boss di pasaran. Alhamdulillah.

Dan sehingga saya harus menjelaskan ini di page boss...

Alhamdulillah. Terima kasih kepada semua peminat yang sudah mendapatkan album Fragmen pada hari pertama di pasaran. Terima kasih juga kepada yang sedia menunggu. InshaAllah, album tersebut akan sampai juga ke tempat anda. Pihak Universal selaku penerbit sekaligus pengedar album ini sedang berusaha sebaiknya untuk memasarkan album ini ke seluruh Malaysia secepat mungkin. Pihak kami ingin memperjelaskan jika ada kemusykilan.
-Album yang hendak dipasarkan ke luar dari Malaysia haruslah menerusi pengedar di setiap negara itu, misalnya Universal Music di setiap negara. Harus melalui proses ini dan tentu mengambil sedikit masa.-Sewaktu memuatnaik teaser lagu Seluruh Cinta bersama Cakra-itu adalah promosi terbaru/projek terbaru sewaktu ke Indonesia dan tidak dinyatakan untuk dimasukkan ke dalam album Fragmen tetapi ada berbincang jika boleh dimasukkan. Perjanjiannya adalah untuk projek lain, bukan untuk album Fragmen. Ini anda harus fahami justeru itu baik pihak Dato' Siti atau pengurusan tidak memaklumkan lagu itu untuk album Fragmen. Salah faham itu boleh mencetuskan persepsi yang salah dan tidak seharusnya dijadikan perdebatan. Jika itu adalah pertanyaan, di sini kami sudah menjelaskan.-Kenapa 9 lagu? Ada beberapa sebab sebenarnya. Sewaktu sesi pemilihan lagu untuk album Fragmen secara berperingkat, ada juga di saat2 akhir, lagu yang telah dipilih sudah diberikan oleh komposer kepada orang lain, ada juga yang tidak jadi diambil atas alasan2 lain dan sebagainya. Ini menjadikan 9 buah lagu dan hal ini telah diperbincangkan dengan 3 pihak. Aubrey Suwito selaku penasihat album, SNP dan Universal. Bersetuju dengan kata2 Aubrey berbunyi `` 9 lagu ini sudah cukup, masing2 ada kekuatan tersendiri, hala tujunya jelas, arah muziknya bersatu, kita ada 9 lagu `killer'. tidak ada satu lagu pun sekadar `filler'. Kita tidak tahu jika masukkan lagi sebuah lagu dan jadi 10, apakah lagu ke 10 itu menepati atau sekadar mahu dimasukkan saja?-Kenapa Galau dan Muara Hati tak dimasukkan dan jadikan 10? Jawapannya sangat jelas. Galau dan Muara Hati bukan lagu dalam pembentukan album Fragmen. Galau adalah single memperkenalkan kerjasama di antara SNP dan Universal dan Muara Hati adalah lagu tema drama Adam & Hawa yang dipadukan Hafiz & DCT dalam satu single duet. Fragmen adalah album yang dibentuk sendiri di bawah perbincangan Aubrey dan DCT dan mendapat persetujuan Universal. Hala tuju muziknya harus sama, konsepnya harus selaras dan bukan sekadar memasukkan lagu2 yang pernah dirakamkan untuk dijadikan 10 lagu dalam 1 album. Berbeza dengan Lebih Indah kerana lagu itu adalah lagu pertama yang diciptakan untuk album baru ini.Semoga semua pihak di luar sana jelas meskipun jika pihak lain, kami kira tidak melayan desas desus atau menjawab seperinci begini. Atas dasar tanggungjawab dan pihak kami tidak dihujani pertanyaan, kami menjawabnya.Terima kasih semua.-ADMIN. (Siti Nurhaliza Tarudin Official)


Saya tahu kebanyakan Sitizoners yang baru/atau baru mengikuti boss secara dekat tidak mengikuti kerja2 saya dari awal saya menguruskan boss. Mereka mula mempertikai...mempersoal dan sebagainya. Saya tidak mengatakan saya hebat tetapi saya adalah pemikir, saya gemar mempertimbangkan dan baik saya atau boss, soal kualiti adalah hal yang tak pernah diketepikan. Kecuali...ya kecuali...industri kami ni terkekang soal kewangan..byk hal hebat tak tergapai jika tidak ada wang, jangan bohong tentang kreativiti, bagaimana melaksana kreativiti maksima jika tidak ada sokongan dana/kewangan..saya bercakap secara am.)


Saya ingat lagi bagaimana Fragmen bermula, sedang dan selesai. Setiap satu hal daripadanya boss adalah tunggak dan saya menjadi sebahagian. Bila urusan rakaman selesai, boss saya `buta dan tulikan' untuk beliau tidak tahu bagaimana persilatan di gelanggang sebenar untuk menjadikan segalanya relaiti. Banyak hal sukar saya tidak mahu berkongsi, hanya ada sepasang mata yang melihat bagaimana keadaan saya untuk mengendalikan ini. Sehingga adakala saya tidak menjadi saya. Namun biarlah segalanya saya kongsi nun di rumah perasaan yang sebenar. Bagaimana menterjemah bahawa; seorang pengurus orang popular bukan untuk seiring boss/majikannya untuk saling berganding dalam lime light. Bukan untuk dikenali kerana sering bersama dan mendampingi. Persepsi itu salah, kita harus jadi perancang, pencetus, pelaku, pengemudi, penasihat, pemudahcara dan banyak lagi. Saya rasa jantung saya apakah denyutnya masih biasa atau sarat? Dan jika hari ini pada 30 Jun album tersebut dipasarkan, saya menitiskan airmata di mana sepasang mata yang melihat saya itu tidak nampak mengenainya kali ini. Itu keikhlasan luar biasa yang pernah saya lakukan untuk seseorang yang lain melebihi diri saya sendiri, meski saya dipandang dengan pandangan lain atas semua yang telah saya lakukan. Allah tahu. Itu bekal saya di sana nanti. InshaAllah, jika saya bukan orang yang baik sekalipun, saya mahu miliki hati yang baik. Di situlah jendela untuk semua hal.

Tahniah boss, SNP & Universal untuk Fragmen!





Sunday, June 29, 2014

MENU RAMADHAN

29 Jun 2014- Hari pertama Ramadhan. Agak sukar juga untuk hari pertama ini kerana diserang migrain akibat makan sahur sedikit saja. Memang cuba juga makan banyak tetapi tak lalu. Akibatnya bila perut lapar dan masuk angin, migrain pun menyerang. Dugaan berpuasa namanya.


Gambar kat atas ni adalah menu hari pertama berbuka puasa. Memang tak teruja nak ke bazaar Ramadhan malah lebih teruja nak memasak sendiri. Patin sungai tu sebenarnya mak mertua yang bagi, dah hampir seminggu dalam peti ais dan belum dimasak. Jadinya sesuai dijadikan menu utama hari ini. Itu juga menu yang Put'a minta. Asam pedas daging tu memang teringin nak makan, bab2 asam pedas ni memang speciality Rozisangdewi..chewah!! Ikan goreng wajib, pilihan hari pertama puasa ni ikan pelaling. Goreng garing2 dan rangup, memang tak perlu makan lauk lagi pun dah ok. Telur dadar tu mesti ada untuk sempurnakan menu, sayur dan lebihan ikan tenggiri masak kicap masa sahur.

Hari pertama berpuasa ni masa berbuka dah meriah, Sairah & family dan juga Hafiz datang berbuka di rumah. Nota: Saya suka menjamu orang. Rasa puasnya cecah bertahun2..hehehe...cecahnya lamalah.


Hari kedua berpuasa ni agak kelam kabut sikit masa nak memasak sebab lambat sampai ke rumah dari opis. Sebelum balik singgah beli beberapa keperluan di Giant terlebih dahulu. 

Menu utama kurma ayam, ikan siakap masak masam manis, dalam gambar tu nampak bahagian kepala saja tetapi sebenarnya saya masak seekor. Ada dalam pinggan lain bahagian ekornya..hehehhe. Kali ni tukar ikan selar kuning pula untuk digoreng, ada sayur taugeh dan sambal hitam resipi tradisi Kuala Lipis (Resipi Sangdewi). Haaaa..panjang lebar. Berbuka pada hari kedua ni bertambah meriah lagi sebab Saida & anak2 join berbuka dengan family Sairah serta Hafiz. Alhamdulillah.



Berpuasa hari ketiga ni saya nak menu yang simple tetapi kena dengan selera. Gulai labu masak lemak cili api, udang masak ala Sangdewi, ikan goreng ada dua jenis hari ini, ikan kerisi dan ikan kembung serta mee goreng untuk Nabil. Saya memang ada beli mee dan tau Nabil tak berapa lalu berbuka dengan nasi. Bila saya tanya dia nak makan mee apa, dia jawab mee goreng. Nasib baik cukup bahan2 nak menggoreng mee. 

Cara saya makan memang pelik sikit, saya tak makan labu tetapi saya suka kuah gulai labu. Jadinya saya ambil kuahnya dan letak kicap manis. Terangkat jadinya, memang best makan gulai dengan kicap manis. Kemudian makan pula dengan ikan goreng. Nota: Saya makan ikan goreng yang garing, kalau tak garing saya tak makan. Ayam atau daging pun begitu. Alhamdulillah.

Nanti saya sambung menu lain pula ya..


Saya tak ingat menu2 ini mengikut turutan hari berpuasa atau tidak kerana saya baru menambah untuk upload entry ini. Memang hari2 ada ikan goreng, walaupun kadang2 saya sendiri hairan apabila ramai yang bertanya malah perasan yang menu saya mesti ada ikan goreng. Saya terfikir, mungkin hanya di rumah saya saja agaknya yang menu wajibnya adalah ikan goreng. Ada sesekali bila stok ikan tidak ada memang saya tidak menggoreng ikan tapi...hehehhe jarang sangat ikan tak ada di dalam peti ais rumah saya.
Menu kali ini saya masak tomyam campur, saya tau tak berapa elok campur makanan darat dan laut sebab saya campur ayam dan udang tetapi tak mengapalah sesekali sebab ada yang tidak makan udang dan ada pilihan untuk memilih ayam. Daging goreng dan tentunya saya mesti tak ketinggalan sambal ikan bilis serai. Sambal tradisi keluarga saya sejak saya kecil lagi. Ini menu yang menjadi kegemaran turun temurun dalam keluarga saya.


Ini meatball ala Sangdewi walaupun inspirasinya dari meatball Ikea. Saya akui saya tak pernah makan meatball kat Ikea, walaupun saya selalu mendengar kehebatan rasanya. Saya juga dengan rumours tentang status halal/tidak menu di situ dan akhirnya saya berjaya pujuk agar rakan2 terdekat saya cuba untuk tidak pergi makan di situ (setelah status halal diketahui boleh pergi) dan saya menyediakan menu ini jika mereka minta. Saya buat meatball kali ini untuk keluarga Miela dan juga untuk Siti Fairuz @ CF sempena ulangtahunnya. Semangkuk saya tinggalkan untuk anak-anak tetapi bila dah makan nasi semasa berbuka, berbaki juga meatball di rumah saya walaupun sebahagiannya saya dah berikan kepada jiran @ ipar saya, Sairah. 


Supaya keluarga saya tidak bosan berbuka dengan nasi sahaja, saya sediakan mee kari. Saya letakkan ketam di dalam kuah kerana ketam ini bagi saya menyedap rasa kuah kari. Ringkas saja sesuai dengan apa yang anak-anak saya memang makan. Jika saya nak letak sawi atau tabur bawang goreng di atas kuah, anak-anak saya memang terus asingkan. Jadinya saya buat seringkas mungkin, tak perlu banyak awas-awas sebagai aksesorinya. :)

Sesekali bila memasak, saya juga mahu kehadapankan menu zaman mak kita selalu masak dulu-dulu. Saya gelarkan menu nostalgik. Saya bayam merah masak lemak putih bersama keledek manis. Boleh campurkan soohoon/fucuk sikit. Kalau dulu-dulu, masak sayur bayam merah, kuahnya memang akan bertukar jadi merah bayam. Sekarang ini tidaklah menjadi semerah itu. Regu kepada bayam ini tentulah sambal gesek. Buat pedas2 sikit memang terangkat rasanya. Ikan kerisi goreng dan gulai ayam masak tempoyak juga menjadi menu berbuka kali ini.


Sudah beberapa kali saya teringin nak masak nasi ayam untuk berbuka akhirnya tercapai juga. Sebagaimana dijangka memang membuka selera keluarga. 

Kali ini saya masak isi/tulang ikan masin bersama kacang panjang. Buat masak lemak cili api, memang sedap. Kemudian saya goreng ikan tenggiri, telur dadar dan masakkan paprik ayam. Ikan tenggiri tersebut awalnya saya bercadang nak masak kari tetapi asam jawa di rumah saya habis, jadinya terus tukar semua menu dan jadilah seperti di atas. Fakta kalau masak kat rumah: Walaupun saya lebih suka telur dadar yang ada bawang dan cili merah/hijau tapi demi anak-anak yang tak suka ada kedua2 bahan itu dalam telur, saya memang goreng kosong saja. Kalau ikan pula, jangan hairan jika tengok ikan saya macam warnanya kehitaman sikit atau garing sbb saya memang tak makan ikan yang tak garing. Kalau nak shoot untuk buat buku resipi memang tak lepaslah ni, kena goreng cantik2...hahahaha...

Kali ini berjaya pula saya masak kari ikan tenggiri kerana dah beli asam jawanya. Hari ini semuanya berasaskan ikan lauk saya, ada ikan pelaling goreng dan ikan bawal masak kukus (stim) dan untuk jadi regu dengan kari, saya buatkan jelatah atau acar mentah.

Nabil, anak saya yang kedua memang tak makan pedas langsung. jadinya saya buatkan sup ayam untuk beliau dan saya masak ayam masak asam pedas juga. Ada ikan selar goreng dan sambal terung. Pada asalnya saya memang nak sediakan menu permintaan anak sulung, Puta iaitu bubur kepit hidung. Ini salah satu menu tradisi keluarga saya, tapi saya sempat menyediakan bubur jagungnya saja. Bila dah masuk waktu berbuka dia agak kecewa, saya terus tunaikan permintaan beliau dengan mengambil tepung, bancuh, uli dan gentel. Menjadilag bubur kepit hidung seperti gambar di bawah ini.

Inilah rupanya bubur kepit hidung. Kalau taknak letak jagung pun tidak mengapa.

Waktu cuti hujung minggu saya ada waktu sikit untuk menyediakan kuih berbuka puasa. Disebabkan adunannya sama, saya sediakan 2 jenis kuih iaitu kuih tapak kedidi dan kuih badak berendam. Memang licin kuih-kuih ni lepas berbuka.


Walaupun anak-anak saya kurang gemar makan makanan laut tetapi saya cuba membiasakan mereka perlahan-lahan. Saya sendiri memang tidak makan makanan laut tetapi saya tidak mahu anak-anak saya tidak mencubanya. Saya masakkan gulai sotong masak lemak cili api, sambal udang petai yang mungkin jarang-jarang saya masak di rumah. Kemudian ada sayur bayam masak air, telur dadar dan ikan kembung goreng.











Thursday, June 26, 2014

ROZISANGDEWI

Nama saya Rozisangdewi. Ejaannya Rozisangdewi. Bukan Rozi Sang Dewi atau Rozi SangDewi. Saya penulis biasa kerana hobi saya menulis. Tidak ada apa-apa dengan penulisan saya-saya tidak mengharapkan orang faham atau memahami, jauh sekali untuk menganggap apa yang saya tulis itu 100% tentang diri saya. Saya manusia yang peka sekitar, pengamatan, perhatian, kejadian, perasaan dan riak muka. Saya mendasari momen-momen dengan pertimbangan akal dan hati. Saya jarang menangis sebab hati saya kuat, saya jarang jujur untuk mengatakan tidak sebab saya cuba memuaskan hati orang lain, saya selalu menjauhkan rasa kecil hati sebab saya menyuburkan positif dalam hati dan saya jarang mahu menyusahkan kerana saya terlahir dengan sifat berdikari yang kental.

Kenapa Rozisangdewi? Satu waktu dulu, apabila saya mula menulis begini, bermula dengan jurnal dan blog serta friendster, saya adalah manusia yang selalu malu ke hadapan. Saya tidak betah dikenali atau memasyarakatkan tulisan saya. Saya hanya berkongsi di kalangan teman-teman rapat yang mengetahui siapa Sangdewi? Tidak ada Rozi di pangkal Sangdewi. Hanya Sangdewi dan saya cukup selesa dengan sisi Sangdewi-satu sosok halimunan yang menulis, sembunyi, menyorok, malu, jauh dari hingar mewah, elit-saya mempunyai sifat Sangdewi dalam dunia saya yang tersendiri. Saya menjadi Sangdewi apabila saya menulis, apabila saya teringin menyuarakan, tatkala saya gembira tersangat atau sakit yang perit jua sewaktu ada cabaran yang tak tertanggung atau kejayaan yang mengundang senyum ke telinga, justeru Sangdewilah yang melayakkan saya untuk menjadi sebenar dalam hidup Dunia Kecil saya.

Lama untuk saya melangkah menjadi Rozisangdewi. Sangat lama. Hanya kebelakangan ini saja seakan saya berani, walaupun saya tahu saya tidak berani. Saya tidak pernah mengenepikan Sangdewi, hari ini saya cantumkan kedua-dua saya menjadi satu. Rozisangdewi. Saya menyebutnya manis, saya mendengarnya kental. Saya bukan orang yang berani mengejar tetapi saya adalah orang yang sedang berjalan. Saya tidak pernah berhenti berjalan. Itu pasti. Begitulah tentang Rozisangdewi...kisah lain pula......

Saya sudah mencecah 40 tahun. Itu momen. Saya menanti usia ini dari dulu-saya terlalu ingin melihat bagaimana saya pada usia 40. Alhamdulillah, saya belum banyak berkedut..:)) Tidak. Bukan itu, saya mahu melihat di mana dan bagaimana saya. Berdikit-dikit. Saya capai segalanya sederhana tetapi saya memiliki. Tidak banyak tetapi cukup. Tidak mewah tetapi sempurna. Ada dalam genggam. Saya bersyukur, sangat2 bersyukur. Moga Allah takkan pernah menghilangkan rasa syukur dari dalam diri saya. Itu kekuatan saya selama 40 tahun ini.

Saya kembali dalam blog setelah tidak menulis dengan konsisten bertahun-tahun. Saya mula menulis jurnal/blog seawal tahun 2000-2002. Berganti-ganti nama blog saya. Saya langsung tidak menulis sejak 2006/07 dan ada menjenguk-jenguk blog pada 2010/12...dan hari ini saya menulis kembali. Moga ada kecekalan.....2 hari lagi menjelang Ramadhan. Moga bulan penuh barakah ini memberikan sinar kejayaan lahir/batiniah buat kita semua.

KOLEKSI IKLAN SITI

Ini adalah sebahagian iklan atau tv commercial yang pernah dijayakan oleh DCT. Banyak lagi sebenarnya tetapi saya tak jumpa di youtub...